Archive for February, 2009

PROMOSI BUKU

Posted: February 26, 2009 in WRITINGS

hebahan_ump4

 

Tarikh :
28 Feb – 1 Mac 2009

Masa :
10.00 am – 1.00 pm

TEMPAT : 
Karnival Jom Masuk U
Universiti Malaysia Pahang (UMP)

 

 

  hebahan_alorsetar

 

Tarikh :
14 Mac 2009

Masa :
3.00 pm – 4.00 pm

Tempat :
Kompleks Star Parade, Alor Setar

YOU AND I SEE

Posted: February 23, 2009 in GENERAL, VIDEOS, WRITINGS

Song : You And I See
Artist : UNIC

Kisah di sebalik penciptaan lagu You And I See ini…

1001 kenangan kerana ini adalah lirik Islami pertama saya yang dirakamkan secara profesional. Walaupun sebelum itu saya banyak menulis puisi dan lirik, “You And I See” adalah lirik berunsur ketuhanan yang ‘very direct’ mesejnya.

Sememangnya pada saya apa jua lagu dakwah yang saya dengar (BM atau BI), lagu-lagu yang mempunyai lirik ‘straight to the point’ lebih meninggalkan kesan berbanding lirik yang terlalu puitis dan berbunga-bunga. Kerana itulah saya suka mendengar lagu-lagu nasyid lama.

Lirik ini adalah lirik bidan terjun. Abai Os bertanya sama ada saya boleh bantu menulis lirik untuk sebuah kumpulan baru. Bagus juga tu kerana saya memang suka menulis lirik. Syaratnya mudah, perlu ada ayat “you and I see” di dalam lirik tersebut kerana kumpulan baru itu katanya akan menggunakan nama UNIC (disebut ‘you and I see’). Saya bersetuju.

Selesai menulis lirik, timbul pula kebimbangan baru iaitu cara nyanyian adik-adik UNIC. Abai Os mencadangkan supaya saya menyertai sesi rakaman untuk membantu. Pun begitu oleh kerana rakaman dibuat pada waktu malam, maka saya sebagai perempuan melayu terakhir (cheh!) terpaksalah menolak pelawaan tersebut. Jika rakaman dibuat di siang hari mungkin saya akan join. Tapi itulah, mungkin malam-malam suara lebih sedap kot! Hehhe. Di sebelah pagi selepas sesi rakaman, baru saya terperasan mesej di dalam voice mail – “Tunaaa tolong! Tak tahulah apa jadi!” kata Abai Os… Ah, sudah!

Saya hanya dapat mendengar lagu tersebut setelah siap semuanya. Hasilnya adalah sebagaimana di dalam video di atas. Tidaklah teruk sangat, okaylah tu… Pun begitu secara jujurnya, memang sehingga hari ini saya masih rasa terkilan kerana tidak membantu. Nyanyian mereka di dalam lagu ini boleh dimantapkan lagi sebenarnya kerana mereka ada kemampuan dan kesungguhan. Ada perkataan dan lenggok nyanyian yang boleh di American-kan lagi (eh?)… Tapi saya tahu saya tak boleh merungut kerana saya juga yang tak hadir ke sesi rakaman kan? Tsk!

Jika ada peluang, saya ingin terus menulis lirik Islami berbahasa Inggeris. Tetapi itulah, peluang seperti ini jarang ada kerana penasyid kurang merakamkan lagu Inggeris… dan penulis lirik pula begitu ramai di dalam pasaran! Jadi ikut pada rezekilah… Mudahan terhibur menonton video di atas!

PROMOSI BUKU

Posted: February 21, 2009 in WRITINGS

PROMOSI BUKU DI KUANTAN

Insya-Allah Kak Syalina dan Kak Ida Rizyani (penulis buku G.I.M & J.A.Y) akan berada di tapak Karnival Jom Masuk U Zon Pantai Timur di Universiti Malaysia Pahang pada 28 Februari – 1 Mac 2009 ini bagi mempromosikan buku kami sambil bertemu para pembaca khususnya adik-adik tersayang. Tentatifnya adalah seperti berikut :

10.00 am – 1.00 pm
… Slot bersama Penulis PTS (sembang-sembang & sesi autograf)
… Perkongsian ilmu (santai sahaja)

* Poster hebahan di dalam proses. Blog Kak Ida Rizyani http://www.idarizyani.blogspot.com

Bagi peminat-peminat buku remaja bolehlah bersama-sama kami di sana sambil memeriahkan lagi karnival yang berkenaan. Kak Syalina pun tak sabar nak round semua booth universiti dan kolej untuk intai-intai peluang menyambung pelajaran tidak lama lagi (mudahan dimurahkan rezeki). Doakan!

PROMOSI BUKU DI ALOR SETAR

Sementara itu, Kak Syalina juga akan berada di Kompleks Star Parade, Alor Setar pada 14 Mac 2009 ini bersempena Pesta Buku Popular. Kak Syalina masih lagi di dalam proses menyusun slot-slot yang sesuai. Insya-Allah bila sudah selesai nanti Kak Syalina akan maklumkan di blog ini. Jom ramai-ramai memeriahkan pesta buku di Kompleks Star Parade! Jumpa di sana!

* Bagi program ini poster hebahannya dah siap :

 popular_as

WINDOWS MOVIE MAKER

Posted: February 16, 2009 in VIDEOS

Puas mencari di serata internet, rupanya video/movie maker ada di depan batang hidung! Hehhe… Ini adalah video pertama yang saya edit gunakan Windows Movie Maker (budak baru belajar).

Video di bawah diambil oleh bekas guru SFK iaitu Cik Hanani (thanks Nani), manakala lagu yang saya gunakan di dalam video ini adalah nyanyian kumpulan Irfan (ex-USM).

MEMBACA : Menggabung Teknik

Posted: February 13, 2009 in EDUCATION, GENERAL, PARENTING

Disalin dari blog SFK

Tidak adil dan tidak betul jika kita mengatakan bahawa produk belajar membaca A adalah lebih baik dari produk membaca B. Pun begitu tidak dinafikan, wujud pelbagai faktor yang mempengaruhi keberkesanan sesuatu produk itu. Sebagai contoh, kami di SFK masih menggunakan Bacalah Anakku walaupun pada hari ini terdapat banyak buku belajar membaca di dalam pasaran. Malah, kami pernah mencuba beberapa buah buku lain tetapi akhirnya kami kembali menggunakan Bacalah Anakku juga.

Jadi, mengapa Bacalah Anakku? Sebenarnya Bacalah Anakku tidak jauh berbeza dari buku-buku lain. Pun begitu, kami memilih untuk terus menggunakan Bacalah Anakku kerana susun atur perkataannya amat menyenangkan. ‘Font’ yang digunakan juga adalah besar dan tidak terdapat banyak gambar di dalamnya. Ini dapat mengurangkan ‘distraction’. Sama jugalah dengan Read Easy. Read Easy tidak mengelirukan dan isi kandungannya adalah mengikut tahap-tahap tertentu.

Pun begitu pada masa yang sama, kami ada juga menggunakan buku-buku lain. Kami yakin, setiap buku mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan keberkesanan sesuatu produk itu adalah bergantung kepada bagaimana kita mempraktikkannya. Di SFK, kami menggunakan dua tiga buah buku untuk membaca. Pada masa ini, kami menggabungkan buku Bacalah Anakku (terbitan ReadNetwork) dan buku Belajar Membaca Kaedah Ekspres-i (terbitan PTS Publications). Bagi Bahasa Inggeris pula,  mereka bermula dengan membaca ‘wordlist’ khas dahulu sebelum memulakan Read Easy.

Selain Bacalah Anakku dan Belajar Membaca Kaedah Ekspres-i, kami juga menyediakan buku ‘wordlist’ di mana guru-guru akan menulis ‘wordlist’ yang bersesuaian mengikut tahap/prestasi seseorang pelajar  itu. Memandangkan tahap prestasi mereka adalah berbeza, maka hampir setiap pelajar mempunyai ‘wordlist’ mereka sendiri. Sebagai contoh :

Pelajar A : bak, cak, dak, bakti, cicak, budak (kerana sukar membunyikan huruf ‘k’).

Pelajar B : ba… da… (‘da’ ditulis di bawah ‘ba’ agar pelajar dapat melihat perbezaan huruf ‘b’ & ‘d’ kerana pada kebiasaannya pelajar sukar membezakan huruf ‘b’ dan ‘d’).

Membaca di dalam Bahasa Inggeris adalah lebih sukar. Pun begitu, amat membantu sekiranya pelajar sudah tahu membaca di dalam Bahasa Melayu. Kerana itulah, kami pastikan pelajar mampu membaca di dalam Bahasa Melayu dahulu sebelum memulakan bacaan Bahasa Inggeris. Syaratnya mudah sahaja – Tidak semestinya lancar tetapi boleh membaca (contohnya jika ada kesilapan di dalam bacaan pelajar terbabit boleh membetulkan bacaannya sendiri tanpa bantuan dan sebagainya).

Ketika membaca di dalam Bahasa Inggeris pula, banyak aspek perlu ditekankan dan diambil kira. Salah satu contoh ialah membunyikan huruf di hujung. Sekiranya huruf hujung tidak disebut dengan betul, maka makna perkataan yang dibaca itu boleh berubah sama sekali. Cuba lihat contoh berikut :

Got dan God … Bat dan Bad… Bag dan Back… dan sebagainya.

Kerana itulah kadang-kadang pelajar mengambil masa yang cukup lama untuk menghabiskan Read Easy. Walaupun agak sukar untuk membentuk para pelajar agar tidak membaca mengikut loghat Kelantan dan sebagainya, kami tidak boleh berputus asa.

Kami mendapati bahawa gabungan teknik dapat membantu pelajar membaca dengan lebih berkesan (tidak semestinya cepat, tetapi berkesan). Ia juga tidak akan mengelirukan pelajar kerana walaupun bahan dan cara pengajarannya berlainan, kaedah yang digunakan tetap sama iaitu kaedah phonics/fonetik.

Apa yang pasti, ibu bapa dan guru perlu banyak bersabar. Mengikut rekod, ada pelajar yang mengambil masa hampir setahun sebelum benar-benar bersedia. Sebagai contoh tahun ini, ada seorang pelajar berumur 6 tahun sudah mampu ‘mendisiplinkan diri’ untuk belajar membaca. Sekiranya tahun lalu (semasa berumur 5 tahun) pelajar ini akan ‘melembikkan’ badannya ketika disuruh membaca, tahun ini pelajar terbabit sudah semakin matang dan bersedia. Dia akan duduk diam di kerusi di sepanjang sesi berlangsung dan membaca setiap perkataan dengan begitu bersemangat sekali.

Banyak lagi kes seumpama ini. Prestasi seperti inilah yang menjadikan segala usaha kami berbaloi. Kami tidak memaksa mereka untuk membaca tetapi kami berusaha bergerak mengikut prestasi dan kesediaan mereka!

* Untuk membaca artikel-artikel lain yang berkaitan, klik pada “Education” (Catagories) di sebelah kanan blog ini.

GERAKAN MANSUHKAN PPSMI

Posted: February 13, 2009 in EDUCATION, GENERAL

Pada masa ini isu yang paling hangat (selain apa yang berlaku di Perak) ialah hal-hal yang berkaitan dengan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Banyak pertubuhan serta para profesor, para seniman, para sasterawan dan ramai lain mula bersatu menentang PPSMI.

Walaupun kadang-kadang bukan semua perkara yang dilakukan/diperkatakan oleh golongan cendekiawan itu sentiasa betul, di dalam kes PPSMI ini, saya kira saya wajib menyokong mereka. Mereka bukan mengetuk tong kosong. Cakap mereka cakap yang berisi. Setiap hujah adalah hujah yang berisi. Malah, mereka adalah orang-orang yang mengkaji. Mereka tahu apa yang mereka mahu dan mereka faham apa yang mereka perjuangkan. Menteri tak kaji. Menteri suruh orang lain yang kaji (tetapi nampaknya tersilap kaji). Ooops!

Saya sayang Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Malah, saya wujudkan bengkel yang saya namakan “English Bagus!” semata-mata untuk ‘mempromosikan’ Bahasa Inggeris. Pun begitu, tidaklah pula saya nampak logiknya apabila ada pihak yang memperjuangkan bahawa mengajar subjek Sains & Matematik di dalam Bahasa Inggeris boleh membawa kepada penguasaan bahasa itu. Jika nak menguasai Bahasa Inggeris, subjek Bahasa Inggerislah senjatanya, bukan subjek Sains & Matematik.

Tertanya-tanya juga, subjek Matematik ini yang  penting bahasanya kah atau angka/nombor/formula/simbol-simbolnya kah? Ambil contoh negara Jepun sudahlah, tiada masalah pun untuk mereka hidup secanggih-canggihnya dikelilingi teknologi. China pun begitu. Dan bagaimana pula dengan para cendekiawan Islam kita dahulu? Bahasa Inggeriskah yang mendidik mereka? Sebaliknya, orang-orang Inggerislah yang berlumba-lumba menterjemahkan hasil kerja/kajian mereka (cendekiawan Islam) ke dalam Bahasa Inggeris!

Dalam kes Sains & Matematik ini bahasa tidak begitu penting. Ilmu, kerajinan & semangat juang itu yang penting. Saya pun pernah bersekolah jadi saya tahu bagaimana silibus Bahasa Inggeris di sekolah. Perbaikilah silibus subjek Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Kita mampu melahirkan bangsa yang pandai dan fasih berbahasa Inggeris jika silibusnya betul & tepat!

Baca juga artikel lepas :  

https://syalinamd.wordpress.com/2008/08/25/binggeris-di-mata-b-melayu-di-hati/

KEMBALI MENULIS

Posted: February 11, 2009 in WRITINGS

Saya suka menulis, pun begitu saya malas nak menulis. Hmm, inilah masalah sebilangan besar penulis. 

Cabaran paling besar bagi saya ialah tabiat suka menulis separuh jalan. Kadang-kadang belum pun habis satu bab, dah datang pula idea baru. Inilah kelemahan saya. Kerana itulah pada masa ini saya sedang cuba belajar dan membiasakan diri menulis dua manuskrip dalam satu masa.

Entahlah bagaimana keberkesanannya… setakat ini yang saya lihat, ada dua tiga idea dari novel A yang sedang saya usahakan telah saya ceduk dan masukkan ke dalam novel B. Silap-silap nanti, menulis dua novel tetapi yang siapnya satu novel juga :) Tapi tak mengapalah… yang penting siap!

Pada waktu ini saya sedang menyiapkan manuskrip novel kedua. Mudah-mudahan selamat diterbitkan di bawah label PTS Profesional nanti. Bagi yang tidak mengetahui, selain novel kanak-kanak & remaja di bawah PTS One, PTS Pro juga ada menerbitkan siri-siri novel kanak-kanak & remaja seperti siri usahawan cilik, idola dan sebagainya. Bagi yang berminat & berbakat dalam bidang penulisan, bolehlah mencuba. Sila hubungi pihak PTS untuk menghantar sinopsis dan manuskrip.

Selain PTS, Hijjaz juga sudah mula menerbitkan buku. Bolehlah cuba menghantar sinopsis & manuskrip ke mana-mana penerbit yang sesuai dan berkenan di hati. Untuk maklumat lanjut bolehlah melayari (sila klik) :

Panduan Menghantar Sinopsis ke PTS One 

Laman Penerbit HRP

*Boleh juga melayari laman web PTS & blog Universiti Terbuka PTS (Links ada di sebelah kanan blog ini)

 Selamat berkarya!

SUAMI MUDA, ISTERI BERUSIA…

Posted: February 6, 2009 in GENERAL, PARENTING

Hari ni saya pulang awal sedikit. Pasang TV – TV3. Lama juga tak menonton Wanita Hari Ini. Semasa menjadi suri rumah sepenuh masa dahulu Wanita Hari Ini adalah salah satu program wajib. Hari ini WHI membincangkan topik Suami Muda, Isteri Berusia (something like that). Jemputannya ialah ibu kepada penyanyi Bienda iaitu Sheeda & suaminya yang berusia lebih muda daripadanya, juga pengasas produk Mak Dara.

Apabila bercerita tentang suami muda, isteri berusia ini pasti timbul bermacam-macam persepsi dan andaian. Pasti ada yang menyokong dan ada pula yang membangkang. Saya dari dulu lagi ‘no hal’… usia tak penting. Semuanya bergantung kepada diri dan kehendak kita sendiri.

Yalah, mungkin ada yang mahu mencari suami muda kerana mahu bebas bergerak dan mudah bersosial (mungkin fikirnya kalau suami berusia selalunya lebih bersifat kebapaan, jadi dalam apa jua aktiviti pun akan melibatkan anak-anak sekali). Ada pula golongan yang mencari lelaki berusia untuk dijadikan suami, mungkin kerana lelaki berusia lebih matang, hartanya pun mungkin dah banyak terkumpul, bersifat kebapaan dan sebagainya.

Pada saya secara peribadi, saya tak pernah set target untuk berkahwin dengan lelaki yang sebegitu atau sebegini. Berangan-angan masa muda-muda dulu tu biasalah. Once upon a time dulu saya berangan-angan bila dah dewasa saya nak berkahwin dengan ‘mat salleh’. Kalau bukan mat salleh pun tak mengapa asalkan bukan orang Melayu. Sampaikan suatu tahap saya merancang untuk mencari suami berkulit hitam dari Amerika. Ini pengaruh TV dan lagulah ni – badan & kulit melayu tetapi hati berjiwa negro! Hehhe.

Tetapi itu kisah dahulu… bila dah matang sedikit, baru saya faham bahawa perkahwinan, memilih pasangan dan kebahagiaan ini tiada kena mengena dengan bangsa atau warna kulit. Pada usia 26 tahun, saya belum mempunyai kenalan lelaki yang istimewa. Pun begitu, saya berazam untuk berkahwin sebelum usia mencecah 30 tahun. Ketika usia saya hampir mencecah 30 tahun, saya masih ‘single’. Panik juga hehhe… Ketika itu saya memang sudah bersedia… duda okay, bujang lagilah okay! Poligami tak mahu (Nota : Saya tak menentang poligami).

Alhamdulillah ketika usia saya mencecah 29 tahun, saya bertemu jodoh dengan suami saya. Wadduh, tercapai juga target untuk berkahwin sebelum berusia 30 tahun. Pun begitu, saya berkahwin bukanlah kerana terpaksa untuk mengejar target. Saya berkahwin kerana Allah SWT sudah mempertemukan saya dengan jodoh yang paling sesuai. Payah nak gambarkan, tetapi banyak perkara di antara kami berdua yang mengesahkan bahawa dialah jodoh saya.

Kami sebaya, lahir di dalam tahun 1975. Saya muda 2 bulan daripadanya. Baiklah, mungkin tidak berapa kena jika saya nak membandingkan usia kami di dalam topik Suami Muda, Isteri Berusia ini. Pun begitu, saya mahu menekankan bahawa apa yang kami lalui sekarang sebagai suami isteri yang sebaya umurnya adalah sama seperti kebanyakan pasangan lain yang suaminya muda, isteri berusia atau suami berusia, isterinya muda… Sama sahaja!

Jadi, kebahagiaan rumahtangga tiada kena mengena dengan umur! Kita menganut agama yang sama… agama yang mengajar kita tip-tip untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia dan diredhai Allah. Islam mendidik kita seawal kita mencari pasangan lagi. Didikannya adalah sama.

Islam tidak pernah membezakan kita, sebagai contoh umur sebegini kebahagiaannya begini atau umur sebegitu kebahagiaannya begitu… Islam tidak ‘discriminate’. Kualiti yang ada pada suami/isteri berusia 25 tahun seharusnya sama seperti suami/isteri yang berusia 45 tahun kerana kita dididik oleh agama yang sama!

Tetapi itulah… atas sebab-sebab tertentu kualiti kita berbeza-beza… tahap iman kita… latar belakang kita dan keluarga kita… persekitaran kita dan sebagainya yang menjadikan kita berbeza-beza. Umur tidak menggambarkan apa-apa. Apa yang penting ialah mencari pasangan yang mempunyai kualiti yang disarankan oleh Islam dan diredhai Allah, insya-Allah beroleh kebahagiaan tidak kiralah berapa usia si suami atau si isteri.

Wallahua’lam.