Archive for the ‘ACTIVITY’ Category

ADAKAH KITA SUKARELAWAN?

Posted: October 19, 2018 in ACTIVITY, EDUCATION, GENERAL

ANTARA ISU YANG TIMBUL BERKENAAN KERJA SUKARELAWAN:

1) PATUTKAH KITA SEBAGAI SUKARELAWAN DIBAYAR ATAS KERJA-KERJA KITA?

2) ADAKAH AGENSI/NGO MENGAMBIL KESEMPATAN KE ATAS KITA JIKA MEREKA TIDAK MEMBERI KITA UPAH?

Isu ini pernah timbul apabila saya memberitahu bahawa saya tidak dibayar atas kerja-kerja sukarelawan yang saya lakukan. Saya tidaklah begitu aktif, tetapi adakalanya saya terlibat. Bayaran yang dimaksudkan ialah “upah” atau “cenderahati”. Dah lama hendak menulis berkenaan hal ini tapi asyik tertangguh. But here I am now.

Baiklah. Apa itu SUKARELAWAN (atau sukarelawati)? Secara ringkasnya, “sukarelawan” membawa maksud – “Seseorang yang berbakti atau memberi khidmat/sumbangan secara sukarela.” (JKM), atau “orang yang melakukan sesuatu dengan sukarela.” (DBP).

Kebiasaannya, perkhidmatan sukarelawan tidak memerlukan kelayakan tertentu. Bagaimanapun pada kebiasaannya juga, tugas-tugas sukarelawan akan diagih mengikut kebolehan dan kepakaran masing-masing. Saya contohnya. Kebolehan saya ialah menulis, maka saya banyak bersama “team media” NGO yang saya sertai.

ADAKAH SUKARELAWAN MENERIMA BAYARAN/UPAH?

YA dan TIDAK. YA jika sesebuah NGO itu ada menyediakan bayaran, dan TIDAK jika tiada bayaran disediakan. Dalam kata lain, ianya TIDAK WAJIB dan sepatutnya tidak menjadi kesalahan jika NGO berkenaan tidak membayar apa-apa.

Sebelum menulis artikel ini, saya telah bertanya kepada 5 NGO termasuk Bahagian Komuniti/Sukarelawan JKM. Walaupun JKM bukan NGO, dalam artikel ini, saya akan menulis “NGO” sahaja. Berikut maklumat yang saya dapat:

1) Tiada satu pun yang membayar upah kepada sukarelawan yang turun ke lapangan kerana ia adalah tugas-tugas SUKARELA. Sebagaimana NGO yang saya sertai, para sukarelawannya sudah sedia maklum bahawa mereka akan bekerja dengan “percuma” tanpa sebarang bayaran. Dan mengikut pengalaman saya, tiada sukarelawan yang begitu “berkira” meminta bayaran kecuali bagi kes-kes tertentu yang dipersetujui bersama.

2) Ada kes-kes tertentu di mana sukarelawan itu dilantik menjadi “part-timer” di pejabat atau diupah bagi menjalankan tugas-tugas tertentu. Maka bagi yang ini, adakalanya akan menerima bayaran. Bayaran pula mungkin mengikut jam atau lump sum. Bergantung. Yang penting, dipersetujui bersama.

3) Walaupun tiada bayaran atas “tenaga kerja”, adakalanya tuntutan (claims) masih boleh dibuat. Sebagai contoh jika perlu fotostat bahan-bahan program dan sebagainya, atau sukarelawan perlu membuat banyak panggilan telefon, maka mereka boleh membuat tuntutan ke atas prepaid dan lain-lain. Ini juga bergantung kepada persetujuan bersama.

4) Ada sukarelawan yang tidak mampu mengeluarkan duit poket sendiri untuk membayar kos perjalanan ke lapangan seperti kos petrol dan tol. Jadi bagi kes begini, mereka selalunya akan carpool atau adakalanya NGO berkenaan yang akan menguruskan pengangkutan untuk mereka, contohnya menyediakan bas, van dan sebagainya. Ada juga NGO yang saya hubungi mengatakan bahawa mereka boleh memberi duit petrol dan tol jika keadaan memerlukan.

SUKARELAWAN PERLU BERTANYA

Secara ringkasnya, sebelum memulakan sebarang tugas sukarelawan, kita perlu bertanya jika ada kemusykilan. Kita ada hak. Sebagai contoh:

~ Adakah kita akan dibayar?
~ Adakah kita boleh membuat sebarang tuntutan (claims)?
~ Adakah pengangkutan disediakan?
~ Adakah makan minum disediakan?
~ Dan sebagainya.

Selepas mendapat semua maklumat ini, kita ada pilihan untuk menjadi sukarelawan mereka atau tidak. Jika tak mahu atau tak sanggup, tak perlulah bersusah-payah memikul tugas tersebut. Tiada paksaan.

Tidak timbul isu NGO “mengambil kesempatan” ke atas sukarelawan dengan tidak membayar upah. Hal bayaran/upah ini dipersetujui dan difahami oleh para sukarelawan di seluruh dunia. Boleh Google.

Malah, ramai sukarelawan sanggup mengeluarkan duit poket sendiri bagi tugas-tugas sukarelawan terutamanya yang memerlukan mereka pergi ke luar negara. Mereka buat begitu kerana memahami bahawa rata-rata NGO adalah organisasi NON-PROFIT.

Oh ya, bagi kes yang memerlukan sukarelawan pergi ke luar negara, urusan kos perjalanan, visa dan lain-lain mungkin berbeza bagi setiap NGO. Ada yang disediakan dan mungkin ada juga yang tidak. Maka, adalah penting untuk kita bertanya sebelum memberi apa-apa komitmen.

Sekian.

Syalina Ahmad
19 Oct 2018