Archive for October, 2014

BENCI POLIGAMI?

Posted: October 15, 2014 in GENERAL

Berhati-hati apabila berbicara. Kadang-kadang kita berniat mahu menyelamatkan SEORANG wanita daripada ‘seksa’ poligami, tetapi pada masa yang sama, kita menyebabkan hidup keturunan mereka merana : Anak-anak terpisah daripada bapa, anak-anak membenci bapa, anak-anak mula renggang daripada bapa dengan persepsi bahawa bapa itu jahat. Anak-anak juga akan membenci poligami malah mungkin membenci perkahwinan yang Allah sendiri HALAL-kan. Para suami pula terpaksa berkahwin secara senyap yang mana ini akan merumitkan lagi keadaan.

Tahukah bahawa masalah rumahtangga selalunya datang daripada orang sekeliling yang bercakap mengikut perasaan, bukan mengikut Al-Quran dan hadis? Jika kita salah memilih sumber rujukan, rumahtangga kita akan menjadi porak peranda. Maka berhati-hatilah dalam memilih sumber.

Jika kita merasakan bahawa tafsiran salah mengenai JIHAD boleh menyebabkan non-muslims salah faham mengenai Islam, sama jugalah dengan POLIGAMI. Tafsiran yang salah mengenai poligami boleh menyebabkan non-muslims, malah muslims sendiri salah faham mengenai agama Islam. Mereka mungkin akan berkata Islam ini kejam kerana membiarkan wanita diperlakukan begitu. Jadi, sekali lagi, berhati-hatilah apabila berbicara.

Jika hendak membantu, bantulah dengan memberi maklumat yang tepat kepada mereka yang akan berpoligami. Bantu mereka menghadapinya dengan tenang, bukan menghadapinya dalam amarah. Bantu sebuah keluarga kecil menjadi keluarga yang lebih besar, bukan meruntuhkannya. Dalam kata lain, jadilah air yang menyiram sejuk, bukan menjadi api yang membakar.

Semoga Allah merahmati usaha kita semua.