Archive for April, 2011

NAMPAK SAMA, BUKAN SERUPA

Posted: April 21, 2011 in GENERAL, WRITINGS

Nama saya Syalina Ahmad.

S-Y-A-L-I-N-A-A-H-M-A-D

Sebagai penulis yang baru hendak menempatkan diri dalam dunia penulisan, saya perlu berkerja keras ke arah itu. Dan bagi menuju ke arah itu juga, saya perlu membuat pelaburan dari segi masa dan WANG.

Berikut adalah dua sebab penting mengapa saya perlu berbuat demikian :

PERTAMA :

Tersilap ‘identiti’. Pernah beberapa kali sebelum ini orang menyangkakan saya ini SALINA IBRAHIM. Oh, siapa yang tidak kenal Salina Ibrahim? Beliau adalah salah seorang novelis terkenal di Malaysia.

Tidak lama dahulu ketika saya hendak berurusan dengan penganjur pesta buku di Pulau Pinang, mereka dengan terujanya bertanya, “Ini Salina Ibrahim ya!” Kemudian kata saya, “Bukan, saya Syalina Ahmad.” Kata mereka, “Oh.”

Anda nampak bukan permasalahannya di sini? I’m not Salina Ibrahim. I’m just not.

*Big grin*

KEDUA :

Jika anda seorang penulis, anda akan tahu betapa ramainya penulis di dalam industri ini. Penulis-penulis baharu muncul seperti cendawan tumbuh selepas musim hujan. Jika langkah anda terlalu perlahan, anda akan ketinggalan di belakang.

Tidak perlu melihat jauh, di dalam syarikat penerbitan yang kecil itu sendiri begitu ramai penulis di bawah naungannya. Dan kita sebagai penulis tidak boleh menyalahkan penerbit jika kita tidak ke hadapan.

Mustahil bagi penerbit buku hendak menjaga dan memanjakan kesemua penulisnya. Atas sebab-sebab tertentu, saya faham keadaannya dan mengapa. Untuk itu, penulis baharu perlu berkerja keras tanpa mengharapkan penerbit semata-mata.

Jadi, apabila saya beria-ia mempromosikan nama saya, saya sebenarnya sedang mempromosikan produk saya iaitu karya-karya saya. Anda akan faham jika anda seorang penulis.

Jika anda bukan seorang penulis dan mahu menjadi penulis sepenuh masa, anda perlu bersedia dan berjuang berhabis-habisan (atau sehingga ongkos masih ada)!

*Another big grin*

Baik. Seperti ibu bapa lain, memilih tadika atau taska yang sesuai untuk anak-anak boleh menjadi satu dilema atau nightmare.

Anak sulung saya berumur 6 tahun pada tahun ini. Ketika mencari-cari tadika yang sesuai pada penghujung tahun lepas, saya mempelajari sesuatu. Saya (bagi pihak suami juga) mengunjungi empat buah tadika sebelum kami membuat keputusan.

Beberapa perkara perlu diambil kira. Antaranya :

PERTAMA : Ada tadika yang menggunakan kaedah fonetik (boleh dikatakan semua tadika menggunakan kaedah ini sekarang) dan ada yang menggunakan kaedah tradisi iaitu kaedah mengeja. Yang membezakan tadika-tadika ini ialah buku yang mereka gunakan. Dan perbezaan lain yang ketara ialah teknik pengajaran.

Sebenarnya, walaupun kaedah fonetik adalah sama, iaitu menyebut bunyi huruf, tadika-tadika mungkin menggunakan teknik pengajaran yang berlainan. Antaranya :

(i) Mengeja. Walaupun tidak mengeja “B..A (menyebut huruf) = BA”, mereka akan mengeja “BEH..AA (menyebut bunyi huruf) = BA”. Pada saya, ia tetap ‘mengeja’.

(ii) Bergantung kepada buku yang digunakan oleh tadika-tadika yang berkenaan, ada yang terus mengajar suku kata yang mengandungi “a, i, u” seperti “ba, bi, bu”. Ada yang memberi fokus kepada “a” dahulu, kemudian “e”, “i”, “o”, “u”. Sebagai contoh, “ba, ca, da, fa, ga hingga za” sebelum ke “be, ce, de, fe, ge” dan seterusnya.

Ketika menguruskan tadika di Kuantan dahulu, kami menggunakan kaedah fonetik. Walaupun buku yang kami gunakan mencadangkan kami mengeja terlebih dahulu (“beh..aa = ba”), kami tidak menggunakannya. Kami terus sahaja mengajar “ba”, “bi”, “bu” (dan seterusnya) tanpa perlu mengeja. Didapati kanak-kanak tidak mempunyai masalah untuk membaca.

(Apabila mereka mula mengeja, didapati mereka kerap mengeja sebelum menyebut suku kata).

Untuk itu, saya sudah terbiasa dengan teknik ‘tidak mengeja’. Dan ketika saya mencari tadika yang sesuai untuk anak, antara soalan saya ialah, “Membaca menggunakan kaedah apa?” dan “Mengeja atau tidak?”. Tadika yang mengatakan “mengeja” saya keluarkan daripada senarai dahulu.

KEDUA :

Kadang-kadang teringin juga hendak menghantar anak ke tadika Cina kerana disiplin belajar yang mereka terapkan begitu kuat. Pun begitu, IQ bukanlah segala-galanya. Saya mempunyai kawan-kawan yang menghantar anak ke tadika Cina. Ada yang merungut ‘anak letih’. Ibu bapa pun turut letih juga. Jika kerja rumah tidak siap, anak mungkin dimarahi guru atau tidak dapat mengejar prestasi kawan-kawan.

Seperkara lagi mengenai tadika Cina ini ialah soal makan. Baiklah, mungkin di tadika Cina mereka menjamu biskut dan air kosong sahaja. Tetapi bagaimana jika anak-anak berbangsa Cina ini membawa bekal dari rumah yang kita faham-faham sahajalah – Mungkin tidak halal? Dan kita sedia maklum kanak-kanak gemar berkongsi makanan! Anak-anak sekecil ini belum faham soal halal haram. Yang mana sedap di mata mereka, itulah yang mereka mahu makan.

KETIGA :

Yang ini yang paling penting. Apabila hendak memilih tadika Melayu Muslim pun kena tengok juga. Walaupun isu ini tidak terlalu besar, tetapi boleh memberi impak yang besar kepada anak-anak dan ibu bapa.

Saya selalunya akan bertanya kepada tadika-tadika yang berkenaan, “Bagi anak-anak yang tinggal sehingga petang, mereka akan bersolat jemaah atau tidak, atau sekurang-kurangnya bersolat bersendirian?” Dua buah tadika mengatakan ‘tidak’. Menurut mereka, teori dan praktikalnya hanya diajar di dalam kelas. Maksudnya, ketika masuk waktu Zohor dan Asar mereka tidak akan diajak bersolat. Pada kami (seperti ibu bapa lain juga), latihan awal adalah amat penting.

Ketika ini, anak sulung kami itu sedang belajar di sebuah tadika yang bukan sahaja menitikberatkan soal akademik, tetapi juga diniah. Anak-anak akan bersolat bersama setiap kali masuk waktu di mana salah seorang daripada mereka akan menjadi imam. Bacaan juga dibuat dengan kuat agar guru-guru dapat memantau dengan lebih teliti.

Kami mendapati, anak sulung kami cepat menghafal surah-surah pendek dan doa kerana dilatih menghafal/membaca doa secara beramai-ramai di tadika. Malah, ada doa-doa yang tidak pernah saya praktikkan sebelum ini saya belajar daripada anak saya! :)

Semua ini adalah pandangan peribadi sahaja. Ia mungkin berbeza bagi ibu bapa yang lain. Bagaimana kita hendak membentuk anak-anak, terpulanglah kepada kita…

Wallahua’lam.