B.INGGERIS DI MATA, B. MELAYU DI HATI

Posted: August 25, 2008 in EDUCATION, GENERAL

Salam Puan,

 

Saya berasa amat gembira sekali apabila ramai golongan berpendidikan seperti puan dan lain-lain mengambil berat tentang pengajaran Matematik & Sains di dalam Bahasa Inggeris, begitu juga di peringkat universiti.

 

Saya tidaklah menyokong pengajaran Matematik & Sains di dalam Bahasa Inggeris, pun begitu pada masa yang sama saya juga tidak membantah. Cuma saya hairan, yang mana satukah perkara pokok yang diutamakan oleh pihak kerajaan pada masa ini? Adakah mereka mahu pelajar-pelajar kita menguasai Bahasa Inggeris secara umum atau mempelajari Matematik & Sains di dalam Bahasa Ingggeris secara khusus? Kerana jika mereka mahu pelajar menguasai Bahasa Inggeris secara umum, maka pada pandangan saya, mengajar Matematik & Sains di dalam Bahasa Inggeris adalah satu kesilapan.

 

Jika mereka (kerajaan) mahu pelajar menguasai Bahasa Inggeris dengan baik, seharusnya mereka melihat kembali silibus subjek Bahasa Inggeris yang digunakan di sekolah-sekolah, bukan dengan memaksa & menyiksa para pelajar kita agar belajar Matematik & Sains di dalam Bahasa Inggeris. Saya kira, jika kerajaan benar-benar serius, mereka seharusnya terfikir untuk membentuk silibus baru yang wajib dimulakan seawal usia yang boleh, mungkin dari peringkat tadika lagi, bukan bermula di peringkat sekolah menengah atau universiti.

 

Saya sebagai individu yang pernah melalui zaman persekolahan berasa amat bosan dan tersiksa sekali ketika mempelajari Bahasa Inggeris di sekolah. Tidak habis-habis dengan ‘comprehension’nya, jawab soalan itu, jawab soalan ini…. kemudian ‘summary’ dan sebagainya… dari Tahun 1 hingga Tingkatan lima masih belum fasih-fasih juga!

 

Sebagai contoh, saya cukup kagum melihat para pelajar yang menyambung pelajaran ke Jepun di mana mereka berjaya mempelajari Bahasa Jepun di dalam masa beberapa tahun sahaja. Malah, ramai di antara mereka yang mampu menguasai Bahasa Jepun jauh lebih baik dari Bahasa Inggeris yang telah mereka pelajari selama lebih kurang 11 tahun. Tidakkah pelik? Dan di manakah silapnya?

 

Apakah agaknya teknik yang digunakan oleh para tutor dan pensyarah Bahasa Jepun itu ya? Amat baik jika teknik yang sama dapat digunakan semasa mengajar Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah. Mungkin sudah tiba masanya pihak kerajaan merombak semula silibus yang ada. Jika mereka mahu pelajar-pelajar kita berjaya di peringkat internasional seperti yang diangan-angankan, maka pelajar-pelajar mestilah diajar bertutur dan menulis, bukan sekadar menjawab soalan-soalan dari buku teks sahaja.

 

Walaupun tidak begitu fasih, saya amat mencintai Bahasa Inggeris (tetapi Bahasa Melayu tetap di tangga teratas). Jadi, saya amat menghargai usaha puan dan lain-lain dalam mengembalikan subjek Matematik & Sains kepada cara yang asal. Moga tiada lagi pihak yang sanggup ‘merojakkan’ minda anak-anak kita semata-mata kerana hendak membuktikan siapa yang boleh berbahasa Inggeris maka dialah yang hebat.

 

 

Sekian, terima kasih & Wassalam.

 

 

Syalina Ahmad

 

 

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s