SUPERWOMAN HEBAT

Posted: October 14, 2009 in GENERAL, PARENTING

Mendidik anak-anak begitu mencabar. Hakikatnya, menjadi ibu bapa adalah jauh lebih mencabar berbanding menjadi guru. Tingkat tekanannya mungkin berlainan atau mungkin sama, bergantung kepada individu yang berkenaan.

Cabaran dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang guru mungkin menyamai cabaran dan tanggungjawab yang dipikul oleh seorang ibu dan seorang bapa.

Guru yang masih berfikir tentang anak-anak muridnya walaupun selepas loceng berbunyi, guru yang tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan alternatif di dalam mendidik anak-anak murid yang bermasalah atau guru yang masih bimbang mengenai keselamatan dan kejayaan anak-anak muridnya walaupun setelah lima tahun berpisah . Ini mungkin kategori guru yang memikul apa yang ibu bapa pikul.

Tidak keterlaluan jika kita mengatakan bahawa kehidupan kita baru sahaja hendak bermula pada hari pertama kelahiran si anak. Bermulanya tanggungjawab dan amanah yang cukup besar yang mana jika diabaikan apa yang diamanahkan itu, akan rosaklah kehidupan malah mungkin keturunan. Paling merugikan, akan menjejaskan agama dan mencacatkan keindahan Islam.

Saya seorang ibu yang dikurniakan dua orang cahaya mata. Insya-Allah jika kesihatan mengizinkan, bercita-cita juga melahirkan dua atau tiga orang lagi cahaya mata. Mudah-mudahan dimakbulkan Allah.

Saya menghormati ibu bapa yang membesarkan empat hingga enam orang anak. Malah, ada yang membesarkan sepuluh orang anak. Bagaimana agaknya mereka mengawal perasaan dan tekanan?

Pasti melibatkan doa-doa dan zikir-zikir tertentu. Pasti juga mendapat sokongan daripada orang-orang lain di sekeliling. Paling utama, pasti mereka sedaya upaya membentuk kesabaran dari semasa ke semasa.

Mendidik anak-anak bukan setakat mengajar. Alangkah baik jika anak-anak yang dibesarkan itu berkarakter “Melayu-Muslim”, bukan “Melayu-Melayu”. Banyak bezanya.

Mungkinkah kita mampu membesarkan anak-anak lelaki yang sanggup mengenepikan ego untuk membantu ibu dan isteri? Juga anak-anak lelaki yang mampu berjalan ke dapur untuk membancuh secawan kopi tanpa membebankan ibu atau isteri yang sudah penat menguruskan tugas-tugas lain?

Mampukah kita membesarkan anak-anak perempuan yang tidak mengabaikan tanggungjawab, yang menjaga maruah diri sendiri, keluarga dan agama? Juga yang bersedia membantu ibunya di dapur walaupun letih belajar di atas dasar kasihan melihat si ibu yang sama keletihan?

Tidakkah kita bimbang melihat trend ‘berat punggung’? Saya bimbang. Mungkin di rumah individu itu rajin, tetapi apabila ke rumah orang lain dia terus berubah karakter kerana beranggapan bahawa ‘ini bukan rumah saya, saya seorang tetamu’. Benar kita tetamu, tetapi tetamu juga boleh membantu meringankan beban orang lain.

Mampukah kita melahirkan anak-anak yang bukan sahaja rajin, tetapi peka, prihatin dan rela membantu tanpa disuruh? Insya-Allah boleh. Boleh  jika ada yang menjadi contoh.

Di antara langkah-langkah awal :

(a) Usah marah pada anak yang mahu membantu di dapur.

(b) Jika kita tetamu, ajak anak membantu tuan rumah.

(c) Terus memberi galakan dengan memberi kata-kata semangat dan penghargaan seperti, “Terima kasih, pandai adik…,” dan sebagainya.

(d) Bercerita tentang kebaikan orang lain untuk dijadikan contoh dan teladan.

Masalahnya dengan kita sebagai ibu bapa ini, kita tidak mendidik atau menggalakkan anak-anak ke dapur sehinggakan anak-anak menjadi tidak biasa. Tiba-tiba apabila sampai di suatu peringkat, kita menyuruh anak-anak memasuki dapur. Jika anak-anak enggan, mulalah kita memanggil mereka malas dan sebagainya, sedangkan kita juga yang membentuk mereka sebegitu.

Memang mencabar menjadi ibu dan bapa. Mudah-mudahan kami dapat menguatkan semangat. Mudah-mudahan juga saya diberikan kekuatan dan kesabaran yang tinggi kerana kadang-kadang tekanannya begitu hebat sekali. Ameen…

Mujur suami membantu. Sekurang-kurangnya meringankan tugas. Maklumlah, kami sebagai isteri dan ibu bukannya Superwoman… Ingat tu para suami dan anak! :)

Syalina Ahmad

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s