DAKWAH REMAJA

Posted: March 30, 2009 in GENERAL, RELIGION

Tahun 1990 ketika berada di dalam Tingkatan 3, saya mengikuti kelas tuisyen di Pusat Tuisyen Saujana di Lebuh Ampang. Di tingkat bawah terdapat sebuah kedai buku. Sudah lama juga saya memerhati dari luar. Teringin benar hendak masuk. Dari luar kelihatan seperti kedai buku itu banyak menjual buku-buku bahasa inggeris. Kebetulan pula pada waktu itu saya sudah mula membaca buku-buku bahasa inggeris dengan kerap.

Pada suatu hari saya berpeluang juga memasuki kedai tersebut. Seorang teman bersetuju untuk menemani saya. Ketika membuka pintu kedai, tiba-tiba meluru seorang ‘nun’ (rahib wanita) dengan senyuman yang cukup manis. Terperanjat juga kami. Terus sahaja saya bersuara, “It’s okay, it’s okay… I’m sorry!” lalu meninggalkan kedai tersebut.

Saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke sana sejak hari itu. Saya bukan takut, cuma pada waktu itu saya tidak begitu faham konsep dakwah. Pada saya, kedai yang menjual produk-produk kristianiti adalah untuk orang-orang kristian sahaja.

Bukanlah saya hendak mempromosikan kristianiti di sini jauh sekali hendak mengatakan bahawa produk-produk kristianiti adalah untuk orang-orang Islam juga. Tidak! Cuma saya tidak faham bahawa apa yang dilakukan oleh ‘nun’ tersebut adalah perkara biasa semasa berdakwah iaitu melemparkan senyuman kepada saya dan bergegas ke arah saya walaupun saya berbangsa Melayu yang pastinya beragama Islam. ‘Nun’ tersebut hanya menjalankan tanggungjawabnya sahaja.

Ah, bayangkan satu situasi di mana seorang gadis naif memasuki kedai tersebut. Mungkin seribu satu masalah sedang membelenggunya. Disapa pula oleh seorang ‘nun’ yang lembut pekertinya seperti seorang ibu atau kakak yang sentiasa bersedia mendengar masalah si gadis… Hati siapa yang tidak akan cair apabila jiwa dibelai dengan begitu lembut sekali oleh individu yang begitu prihatin?

Salah satu kunci pendakwah kristian semasa berdakwah ialah kelembutan. Mereka lembut, tidak lokek senyuman dan sentiasa bersedia melayani apa juga masalah orang yang memerlukan bantuan. Tanyalah apa jua soalan pun, mereka akan cuba sedaya upaya untuk menjawab. Inilah salah satu cara mereka untuk berdakwah.

Patutkah kita menyalahkan mereka ini? Mereka hanya menjalankan tanggungjawab mereka sahaja. Ini bukan soal agama mereka benar atau salah. Ini adalah soal ‘approach’ yang mereka gunakan semasa berdakwah, iaitu ‘approach’ yang sepatutnya digunakan juga oleh kita pendakwah-pendakwah Islam. Pun begitu, ‘approach’ ini jarang dan payah benar hendak dipraktikkan oleh kita semua. Mengapa?

Mengapa kebanyakan daripada kita begitu serius air mukanya? Kadang-kadang ada yang bersikap prejudis. Baiklah, saya berikan contoh. Apabila kita menjejakkan kaki ke kedai buku atau peralatan yang menjual produk-produk Islami, berapa kalikah pemilik atau staf kedai yang berkenaan akan meluru ke arah kita untuk melayani kita atau sekurang-kurangnya memberi salam dan bertanya khabar? Ini kita sama seagama… bayangkan jika seorang non-Muslim (bukan Islam) yang memasuki kedai tersebut dan tidak mendapat bantuan dan layanan sewajarnya, atau pun sekurang-kurangnya senyuman, apalah agaknya pandangan non-Muslim terbabit nanti terhadap agama kita?

Saya bukan bercakap kosong atau menunding jari. Saya bercakap berdasarkan pengalaman. Perkara ini sering kali berlaku. Ada banyak kes pekerja kedai Islam menjeling, duduk ‘melepak’ di kaunter, malas bergerak atau menarik muka ketika diminta membantu mencari barang, mengucapkan “tak tahulah kak…” dan sebagainya. Saya juga boleh nampak perbezaan di antara staf Bank Simpanan Nasional atau Maybank (cawangan-cawangan tertentu) yang beragama Islam dengan staf bank bukan beragama Islam di Hong Leong Bank atau Public Bank. Jauh berbeza dan amat menyedihkan.

Bagaimana pula dengan riak muka kebanyakan ustaz & ustazah kita? Kebanyakannya serius. Remaja nak mendekati mereka pun takut. Kadang-kadang saya sendiri pun takut! Kadang-kadang apabila yang jahil tentang Islam (sama ada orang Islam sendiri atau bukan Islam) bertanya tentang Islam, bukan jawapan yang mereka dapat tetapi leteran. Ini belum lagi ‘sindrom kelompok’ di mana adakalanya kita melihat yang bertudung labuh hanya berkawan dengan yang bertudung labuh sahaja… yang Muslim hanya berkawan dengan yang Muslim sahaja dan sebagainya.

Senario ini mungkin dapat kita lihat di kebanyakan universiti dan kolej. Selalunya dapat kita melihat beberapa kelompok iaitu melayu sahaja, india sahaja dan cina sahaja. Bagaimana dakwah dan integrasi kaum dapat berjalan dengan baik jika begini keadaannya?

Sudah tiba masanya kita sedar bahawa kelembutan dan pergaulan berhemah itu penting. Bagi remaja terutamanya, perlulah dibiasakan dari sekarang kerana remaja adalah pelapis yang akan meneruskan misi dakwah di masa hadapan. Jika tidak pasti apakah modalnya untuk berdakwah, usahakanlah sesuatu yang paling mudah iaitu :

(A) SENYUM.

(B) BERKAWAN DENGAN SEMUA TANPA MENGIRA BANGSA & AGAMA.

(C) BERSEDIA MENDENGAR & MEMBANTU.

Sekian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s