REVIEW NOVEL “EMILDA”

Posted: January 31, 2009 in WRITINGS

Saya melayari internet sebentar tadi lalu terbaca review novel Emilda yang begitu detail sekali penulisannya. Saya rasa saya sendiri pun tak mampu nak tulis review sebegitu. Bukan review novel saya sahaja, malah mana-mana buku sekali pun saya tak sanggup! Lazy lahh… :)

Bagi yang belum membeli atau membaca novel Emilda, saya sarankan sangat-sangat. Saya promote bukan kerana saya menulis buku ini, tetapi kerana mesej di dalamnya… malah novel ini ditulis bukan untuk tujuan hiburan semata-mata tetapi juga untuk berdakwah… moga dapat dimanfa’atkan oleh pembaca terutamanya remaja, apatah lagi di Malaysia ini kita hidup berbilang kaum, agama dan fahaman.

Berikut ialah review yang dimaksudkan :

———————————————————-

 Review oleh Welma La’anda

Inilah buku pertama yang dibaca itu, EMILDA Catatan Seorang Perindu. Sebuah karya dari PTS One yang ditulis oleh Syalina Ahmad. Buku ini sesuai dibaca oleh golongan remaja. Jikalau anda seorang abang atau kakak atau mungkin ibu-bapa yang sedang mencari-cari bahan bacaan yang sesuai untuk adik-adik dan anak-anak, mungkin anda boleh pertimbangkan buku ini.

EMILDA Catatan Seorang Perindu mengisahkan seorang gadis yang sedang mencari tuhannya. Emida berusia 16 tahun dan berfahaman atheis. Dia mempunyai seorang ayah, Melvin, seorang ibu, Cindy, seorang adik lelaki, Shane dan seorang pembantu rumah Muslim yang dipanggil Acik Nor. Emilda mempunyai teman lelaki. Hafiz namanya. Sahabat baik Emilda, juga seorang muslim iaitu Shida.

Emilda berasal daripada keluarga yang kaya raya. Sekolah di sekolah elit. Pergi ke sekolah pun, siap ada pemandu lagi. Namun begitu, dia seorang yang mempunyai akhlak yang baik, tidak suka bermegah-megah dengan kekayaan serta menghormati orang lain. Jikalau mahu dibandingkan perangainya dan sifatnya dengan Shida, Emilda lebih nampak pemalu. Begitulah yang cuba digambarkan di dalam buku ini.

Ayah dan ibu Emilda pula tidak menegah Emilda berkawan dengan Hafiz walaupun Hafiz seorang Muslim. Tetapi, Hafiz bukanlah seorang penganut agama yang taat. Cara hidupnya tidak ubah seperti orang yang tidak ada pegangan hidup. Dia minum arak, pergi parti yang tidak senonoh dan suka mabuk-mabuk.

Emilda tidak tenang dalam hatinya. Terlalu banyak persoalan yang bermain di kepala. Tentang hamba. Dia hamba siapa? Tentang Tuhan. Tuhannya siapa? Setiap agama mengikhtiraf adanya Tuhan. Kristian percaya ada Tuhan, Hindu pun begitu. Islam pun sama. Tetapi dia? Dia tidak ada agama. Dia tidak ada Tuhan untuk dipercayai. Tetapi dia mahu mempercayai adanya Tuhan. Kesenangan dan kemewahannya dimilikinya pasti diberi oleh sesuatu iaitu Tuhan. Dia mahu mengucapkan terima kasih atas semua itu kepada Tuhan. Tetapi , Tuhan yang mana satu?

Emilda bertanya kepada Hafiz tentang Islam. Hafiz tidak mengendahkan soalannya. Sebolehnya, dia tidak mahu bercakap apa-apa soal Islam. Begitu sensitif. Emilda bertanya kepada Acik Nor. Acik Nor pula tidak dapat menjelaskan. Masih sedikit ilmu pengetahuannya. Begitulah alasan yang diberi oleh Acik Nor. Soalan yang diajukan oleh Imelda tentang Tuhan dan Islam, hanya sedikit sahaja boleh dijelaskannya. Selebihnya, dia hanya mampu berdoa semoga Imelda dipermudahkan urusannya dalam mencari Tuhan.

Bertanya kepada kawan baiknya ,Shida, entah, persoalan tentang agama itu tidak terluah. Mungkin juga tidak mahu membangkitkan isu sensitif yang boleh mengeruhkan perhubungan. Ha, pada masa inilah muncul watak baru iaitu Syahir!

Syahir ialah anak Makcik Kamariah yang berniaga di kafeteria sekolah Imelda. Pada suatu petang, setelah menyelesaikan kerja sekolahnya di perpustakaan, Imelda singgah sebentar ke kafeteria untuk mengisi perut yang sedang kelaparan sementara menunggu pemandunya tiba. Pada ketika itulah, Imelda mula mengenali Syahir. Syahir yang melayan dan menjamunya mee rebus.Ooh inilah Syahir, orang yang sentiasa disebut-sebut oleh Shida.

Syahir orangnya baik. Seorang pengamal ajaran Islam yang baik. Terlalu banyak rasanya yang Imelda mahu tanyakan pada Syahir. Tetapi, dia tidak mahu terburu-buru. Dia agak kurang selesa bertanya tentang sesuatu yang begitu besar kepada orang yang tidak begitu rapat dengannya.

Syahir pula menyedari Imelda mempunyai minat tentang Islam. Dia cuba mendekati Imelda dan mengenali keluarganya dengan niat untuk membantu Imelda dalam mengenali Islam. Bukan itu sahaja, Syahir juga menghadiahkan Imelda senaskhah terjemahan Al-Quran kepada Imelda. Di rumah, Imelda membuka kitab itu dan membaca surah pertama, Al-Fatihah.

1.Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
2.Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam
3.Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang
4.Pemilik hari pembalasan
5.Hanya kepada Engkaulah kami menyembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan
6.Tunjukilah kami jalan yang lurus
7.(yaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau beri nikmat kepadanya, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.

Bagi kita, yang sudah lama Islam, yang lahir-lahir Islam, mungkin kita tidak ada rasa apa-apa apabila membaca Al-Fatihah. Rasa biasa-biasa. Tetapi, untuk orang yang bukan Islam, yang tidak pernah membaca kitab Al-Quran, apabila mereka membaca surah Al-Fatihah, mereka akan merasakan surah ini begitu hebat sekali.

Suatu ketika dahulu, saya pernah menghadiri ceramah Ustaz Ayub Abdul Rahman. Beliau merupakan seorang bekas paderi dan semasa zaman bukan Islamnya, beliau tidak pernah cuba membaca kitab suci Al-Quran. Kemudian, pada suatu hari, seingat saya, dia mengatakan, akhirnya dia cuba juga membaca kitab suci ini dengan niat mempelajari Islam untuk “menyelamatkan akidah” orang Islam. Dia kasihan kepada orang-orang Islam yang baik tetapi apabila mati nanti, masuk neraka pula. Dia tidak mahu itu, jadi dia mahu berdakwah kepada orang Islam. Apabila membaca surah pertama iaitu Al-Fatihah, alangkah tersentaknya jiwa beliau, apabila ayat-ayat di dalam surah al-Fatihah ini begitu indah sekali, tidak seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini. Sedikit selingan.

EMILDA Catatan Seorang Perindu boleh saja kita menganggapnya sebagai sebuah buku yang menceritakan pencarian tuhan seorang atheis dan akhirnya dia menemui jawapan kepada semua itu dengan memilih Islam sebagai pegangannya. Tetapi, saya tidak mahu kita melihat mesej buku cerita ini dari sudut itu. Mungkin saya mahu menganggap EMILDA Catatan Seorang Perindu adalah sebuah buku yang menjentik secara halus kepada kita umat Islam tentang tanggungjawab kita kepada umat bukan Islam.

Ya, sekarang kita bercakap tentang dakwah kepada bukan Islam. Melalui buku ini, kita boleh faham ada pelbagai halangan yang Imelda hadapi di dalam pencariannya. Satu, dia bertanya kepada Hafiz tentang Islam. Hafiz pula berasa inferior, lalu perasaan itu diterjemahkan dengan “bengang”.

Dua, Imelda bertanya kepada Acik Nor. Acik Nor pula kurang ilmunya tentang ini. Ya, Acik Nor ada juga menerangkan sikit-sikit tentang Islam kepada Imelda. Tetapi, mungkin Imelda masih tidak puas hati. Masih ada lagi soalan yang terbuku. Tetapi kebiasaannya, soalan-soalan orang bukan Islam ini sedikit pelik. Contohnya, Di mana Tuhan?, Kenapa perlu ada orang kaya dan miskin?, Kenapa umat Islam ditindas, jikalau ajaran yang dibawanya adalah benar?, Kenapa orang Islam jahat, adakah itu buktinya ajaran Islam itu tidak benar?, Apa bukti keadilan Allah?, Kenapa harus ada orang kafir dan tidak kafir? Mungkin maksud Acik Nor kurang ilmu itu dari segi memberi jawapan kepada soalan-soalan sebegini.

Tiga, ada halangan mahu menjaga hati kawan-kawan terutama cuba mengelak sekuat mungkin apabila menyentuh tentang agama. Halangan sebeginilah yang membuatkan kita kekadang tidak mahu atau malu-malu berdakwah kepada bukan Islam. Contoh di sini, Shida dan Imelda. Aah, saya bukan cakap siapa-siapa. Saya pun sama rasanya. Saya sendiri masih tidak tahu apakah cara yang paling sesuai untuk berdakwah kepada orang bukan Islam. Menjaga hati, alasan yang paling dominan sekali. Terfikir juga, akibat menjaga hati sangat, nanti di akhirat, apabila Allah bertanya kepada si fulan, adakah sampai ajaran Islam kepada dia, khuatir juga nanti dia menjawab, “Tidak, Welma La’anda tidak sedikit pun berdakwah kepadaku”. Ha, sudah!

Bagi saya, di dalam cerita ini, Imelda memilih Islam kerana dia sendiri dekat dengan orang-orang Islam. Dia boleh sahaja menganuti agama lain kerana dia sebelum ini seorang Atheis. Kawan baiknya seorang Islam, bercinta juga dengan seorang Islam, orang gaji juga seorang Islam, dan orang pertama yang mendekati dan membantunya dalam pencarian Tuhan juga seorang Islam iaitu Syahir. Tidak hairan dia memilih Islam. Andai kata, dia bercinta dengan orang bukan Islam, dan orang yang approach dia juga seorang bukan Islam, Imelda berpotensi besar menganuti agama lain.

Mungkin kita boleh fikir bersama-sama tentang tanggungjawab kita yang satu ini. Berdakwah kepada orang bukan Islam. Boleh berdakwah dengan pelbagai cara. Kita harus alert terhadap orang-orang yang berminat tentang Islam. Jikalau dia mula bertanya-tanya, kemungkinan besar dia berminat walaupun niat asal sekadar bertanya. Ya, kita patut belajar daripada Ustaz Ayub, “kasihan mereka masuk neraka”.

Jangan kita abaikan dalam memperkasakan ilmu kita dalam bidang perbandingan agama. Itu sangat penting. Kita patut belajar tentang agama orang lain. Dari situ baru kita tahu, betapa Islam itu memang sebetul-betul agama. Buat peringkat mula-mula, cuba baca buku perbandingan agama dahulu. Antara yang terkenal ialah karya-karya Sheikh Ahmed Hossen Deedat. Jikalau berpeluang menghadiri seminar perbandingan agama, itu lebih bagus. Selalunya, di seminar itu nanti, kita akan diajar bagaimana menjawab soalan-soalan yang diutarakan serta diajar juga bagaimana mahu memulakan perbualan dengan bukan Islam.

———————————————————-

Di salin dari :

http://www.goodreads.com/book/show/6149827.Emilda_Catatan_Seorang_Perindu

Juga :

http://wlaanda.blogspot.com/2009/01/emilda-catatan-seorang-perindu-syanila.html

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s