NASYID PERLU ADA IDENTITI

Posted: August 24, 2008 in GENERAL

Tahniah kepada TV9 atas inisiatif menerbitkan Akademi Nasyid, begitu juga program-program nasyid yang lain seperti carta nasyid dan sebagainya. Tidak kiralah terbitan stesen mana pun, program-program seperti ini banyak membantu memartabatkan irama nasyid di persada seni tanahair.

 

Bagaimanapun saya semakin hari semakin keliru memikirkan arah tuju artis-artis yang menggelarkan diri atau kumpulan mereka ‘penasyid’ ini. Sekiranya kita bercakap mengenai Jazz, kita dapat mengenal pasti apa itu Jazz, begitu juga R&B, Pop, Rock, Reggae dan sebagainya, semuanya beridentiti. Tetapi nasyid?

 

Setelah nasyid tulen irama padang pasir dipopularkan di Malaysia, muncul pula nasyid moden yang dikategorikan sebagai ‘nasyid kontemporari’ yang menggabungkan pelbagai genre muzik sesuai dengan kehendak zaman. Dari zaman nasyid kontemporari pop, sehinggalah sekarang muncul pula nasyid yang mengandungi elemen hip hop dan rap.

 

Tidak mengapalah jika nasyid irama padang pasir semakin terpinggir dan dilupakan kerana menurut penasyid-penasyid moden ini, nasyid perlukan pembaharuan. Pun begitu jika dinilai dengan teliti, nasyid kita ini semakin hari semakin hilang identitinya. Sudahlah muziknya berubah-ubah, imej juga seperti hilang arah tuju.

 

Oleh kerana muziknya tidak lagi mempunyai identiti yang khusus, maka penasyid-penasyid kita seharusnya mempertahankan imej-imej asal seorang penasyid. Ini termasuklah berkopiah atau bersongkok, fokus kepada lagu-lagu mendidik jiwa seperti lagu-lagu berunsur ketuhanan dan nasihat, sekali gus mengurangkan lagu-lagu berunsur cinta kepada manusia (kalau boleh dihapuskan terus). Apakah cukup memalukan untuk anda berimej seperti ini sehingga identiti nasyid semakin terabai dan tergadai?

 

Mungkin ada yang berpendapat bahawa lagu-lagu nasyid itu adalah lagu-lagu berunsur dakwah. Baik, saya bersetuju. Pun begitu, jika M. Nasir atau Too Phat merakamkan lagu-lagu dakwah yang lengkap di dalam sebuah album, adakah kita akan menggelarkan mereka ‘penasyid’? Atau, adakah album mereka itu akan dikategorikan sebagai album nasyid? Pasti tidak. Jadi, apa itu nasyid sebenarnya?

 

Apabila menonton Akademi Nasyid, saya sebagai seorang penggemar irama nasyid berasa begitu kecewa. Setelah beberapa minggu menonton, dapat dirasakan Akademi Nasyid semakin hambar kerana tiada kelainan yang dibawa. Menontonnya tidak ubah seperti menonton program realiti lain. Pakaian dan solekan peserta wanita ada yang agak keterlaluan dan tidak menepati saranan Islam. Ketika menonton persembahan peserta-peserta lelaki pula, tidak ubah seperti menonton persembahan Faizal Tahir, Mawi, M. Nasir, Too Phat dan sebagainya.

 

Sekali lagi saya tertanya-tanya, mereka ini ikhlas mahu berdakwah dan bernasyid atau sekadar menyanyi kerana minat menyanyi? Atau adakah mereka tidak diterima oleh program realiti lain, maka mencuba nasib di Akademi Nasyid? Hanya beberapa peserta sahaja yang sebenarnya menepati imej penasyid yang sebenar. Bagi TV9 pula, adakah anda menerbitkan program ini untuk memartabatkan nasyid atau sekadar mahu berlawan dengan program realiti lain?

 

Bagaimanapun tahniah kepada penasyid-penasyid lama seperti Ahmadi Hassan, Hijjaz, Raihan, Rabbani dan lain-lain kerana walaupun genre muzik mereka berubah mengikut peredaran masa, mereka masih mempertahankan penampilan asal walaupun mungkin ada yang menanggapnya ‘kuno’ atau ketinggalan zaman. Andalah penasyid-penasyid tulen! Bagi anda yang tidak lagi berimejkan nasyid, gelarlah diri anda seorang ‘penyanyi’ sahaja, bukan penasyid.

 

Mungkin saya boleh cadangkan di sini bagaimana hendak mengenal pasti sama ada sesebuah lagu itu layak dipanggil nasyid atau tidak. Sekiranya lagu itu mampu menginsafkan, mampu membawa kita mengingati Allah, mampu membuat kita berfikir, maka itu adalah nasyid. Sekiranya anda sekadar terhibur dengan sesebuah lagu itu atau menjadikan anda khayal, maka itu bukan nasyid. Itu adalah lagu ‘biasa-biasa’ sahaja.

 

Harap para penasyid dapat duduk semeja dan berbincang mengenai fokus dan arah tuju industri nasyid, sekali gus mengenal pasti APA ITU NASYID.

 

 

Sekian, terima kasih!

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s