OH, TADIKA MELAYU TIDAK SAMA RUPANYA!

Posted: April 1, 2011 in PARENTING

Baik. Seperti ibu bapa lain, memilih tadika atau taska yang sesuai untuk anak-anak boleh menjadi satu dilema atau nightmare.

Anak sulung saya berumur 6 tahun pada tahun ini. Ketika mencari-cari tadika yang sesuai pada penghujung tahun lepas, saya mempelajari sesuatu. Saya (bagi pihak suami juga) mengunjungi empat buah tadika sebelum kami membuat keputusan.

Beberapa perkara perlu diambil kira. Antaranya :

PERTAMA : Ada tadika yang menggunakan kaedah fonetik (boleh dikatakan semua tadika menggunakan kaedah ini sekarang) dan ada yang menggunakan kaedah tradisi iaitu kaedah mengeja. Yang membezakan tadika-tadika ini ialah buku yang mereka gunakan. Dan perbezaan lain yang ketara ialah teknik pengajaran.

Sebenarnya, walaupun kaedah fonetik adalah sama, iaitu menyebut bunyi huruf, tadika-tadika mungkin menggunakan teknik pengajaran yang berlainan. Antaranya :

(i) Mengeja. Walaupun tidak mengeja “B..A (menyebut huruf) = BA”, mereka akan mengeja “BEH..AA (menyebut bunyi huruf) = BA”. Pada saya, ia tetap ‘mengeja’.

(ii) Bergantung kepada buku yang digunakan oleh tadika-tadika yang berkenaan, ada yang terus mengajar suku kata yang mengandungi “a, i, u” seperti “ba, bi, bu”. Ada yang memberi fokus kepada “a” dahulu, kemudian “e”, “i”, “o”, “u”. Sebagai contoh, “ba, ca, da, fa, ga hingga za” sebelum ke “be, ce, de, fe, ge” dan seterusnya.

Ketika menguruskan tadika di Kuantan dahulu, kami menggunakan kaedah fonetik. Walaupun buku yang kami gunakan mencadangkan kami mengeja terlebih dahulu (“beh..aa = ba”), kami tidak menggunakannya. Kami terus sahaja mengajar “ba”, “bi”, “bu” (dan seterusnya) tanpa perlu mengeja. Didapati kanak-kanak tidak mempunyai masalah untuk membaca.

(Apabila mereka mula mengeja, didapati mereka kerap mengeja sebelum menyebut suku kata).

Untuk itu, saya sudah terbiasa dengan teknik ‘tidak mengeja’. Dan ketika saya mencari tadika yang sesuai untuk anak, antara soalan saya ialah, “Membaca menggunakan kaedah apa?” dan “Mengeja atau tidak?”. Tadika yang mengatakan “mengeja” saya keluarkan daripada senarai dahulu.

KEDUA :

Kadang-kadang teringin juga hendak menghantar anak ke tadika Cina kerana disiplin belajar yang mereka terapkan begitu kuat. Pun begitu, IQ bukanlah segala-galanya. Saya mempunyai kawan-kawan yang menghantar anak ke tadika Cina. Ada yang merungut ‘anak letih’. Ibu bapa pun turut letih juga. Jika kerja rumah tidak siap, anak mungkin dimarahi guru atau tidak dapat mengejar prestasi kawan-kawan.

Seperkara lagi mengenai tadika Cina ini ialah soal makan. Baiklah, mungkin di tadika Cina mereka menjamu biskut dan air kosong sahaja. Tetapi bagaimana jika anak-anak berbangsa Cina ini membawa bekal dari rumah yang kita faham-faham sahajalah – Mungkin tidak halal? Dan kita sedia maklum kanak-kanak gemar berkongsi makanan! Anak-anak sekecil ini belum faham soal halal haram. Yang mana sedap di mata mereka, itulah yang mereka mahu makan.

KETIGA :

Yang ini yang paling penting. Apabila hendak memilih tadika Melayu Muslim pun kena tengok juga. Walaupun isu ini tidak terlalu besar, tetapi boleh memberi impak yang besar kepada anak-anak dan ibu bapa.

Saya selalunya akan bertanya kepada tadika-tadika yang berkenaan, “Bagi anak-anak yang tinggal sehingga petang, mereka akan bersolat jemaah atau tidak, atau sekurang-kurangnya bersolat bersendirian?” Dua buah tadika mengatakan ‘tidak’. Menurut mereka, teori dan praktikalnya hanya diajar di dalam kelas. Maksudnya, ketika masuk waktu Zohor dan Asar mereka tidak akan diajak bersolat. Pada kami (seperti ibu bapa lain juga), latihan awal adalah amat penting.

Ketika ini, anak sulung kami itu sedang belajar di sebuah tadika yang bukan sahaja menitikberatkan soal akademik, tetapi juga diniah. Anak-anak akan bersolat bersama setiap kali masuk waktu di mana salah seorang daripada mereka akan menjadi imam. Bacaan juga dibuat dengan kuat agar guru-guru dapat memantau dengan lebih teliti.

Kami mendapati, anak sulung kami cepat menghafal surah-surah pendek dan doa kerana dilatih menghafal/membaca doa secara beramai-ramai di tadika. Malah, ada doa-doa yang tidak pernah saya praktikkan sebelum ini saya belajar daripada anak saya! :)

Semua ini adalah pandangan peribadi sahaja. Ia mungkin berbeza bagi ibu bapa yang lain. Bagaimana kita hendak membentuk anak-anak, terpulanglah kepada kita…

Wallahua’lam.

About these ads
Comments
  1. onesaliha says:

    Sangat setuju dengan saranan di atas…pendidikan awal di taska dengan persekitaran,latihan yg baik sgt penting utk melahirkan anak2 yg baik,kn pilih yg pentingkan solat dan al-Quran dulu..lebih2 lg yg tekankan hafazan al-Quran,dapat bantu anak2 tajam otaknya.

  2. Puteri says:

    Assalam…
    sy menghantar anak sy ke tadika yg menggunakan bahasa pengantarnya bahasa inggeris & diajar juga bahasa mandarin… alhamdulillah, di tadika tersebut turut menawarkan subjek pendidikan Islam… untuk pengetahuan puan, anak sulung saya yang berusia 9thn belajar di sekolah sjkc & telah menerima pendidikan awal di tadika & kelas tambahan sedari usia 4thn… sy terpanggil untuk ‘memperbetulkan’ stigma masyarakat yg seakan2 ‘prejudice’ & sceptical terhadap sekolah yg bukan dr aliran ‘melayu’… anak sy diketawakan oleh rakan2 di pusat asuhan apabila mereka tahu yg anak sy bakal dimasukkan ke sjkc dgn mengatakan bahawa anak sy akan jadi mcm cina & makan babi…. sy amat terkilan & hanya menggelengkan kepala mengenangkan mentaliti masyarakat melayu yg amat ‘typical’.. di tadika, makan disediakan oleh pihak sekolah & sekiranya ada murid yg membawa bekal ke sekolah, lazimnya mereka akan bawa packed food atau makanan yg bukan berasaskan daging. Yg paling mengejutkan, anak2 ini yg seawal usia 4 tahun tahu menjaga sensitiviti ‘muslim’ dan x sewenang-wenangnya menawarkan makanan kpd rakan muslim mereka.. ironiknyer, masyarakat yg lebih dewasa ‘gemar menghukum’ berbanding anak2 yg naif… di sjkc pula, terdapat pakej makanan bulanan untuk murid2 bukan Islam & guru2 akan memastikan murid2 melayu tidak mengikuti program ini & di kantin menawarkan packed food spt roti, susu segar, yogurt dsbg… selama 3 tahun juga sy membekalkan makanan dari rumah(anak sy x pernah bawak duit belanja ke sekolah) dlm bab solat, murid2 diberi kemudahan ruang solat(surau) dan mereka akan berjemaah mengerjakan solat sekurang-kurangnya seminggu sekali.. pada sy halal itu begitu luas… bukan shj merujuk kepada daging yg haram dimakan atau cara sembelihan, tetapi juga kebersihan & makanan yg memudaratkan… wallahualam… ;-)

    • syalinamd says:

      Terima kasih Puan atas perkongsian & pandangan :) Saya seperti ramai ibu lain, tidak mempunyai masalah dengan sekolah cina atau india, apatah lagi hendak bersikap prejudis. Jika anak saya sudah besar, sudah tahu membezakan halal & haram dengan baik secara berdikari, saya dan suami tidak mempunyai masalah menghantar mereka ke mana-mana sekolah sekalipun. Pun begitu, secara realitinya, memang wujud sekolah ‘baik’ dan wujud juga sekolah ‘tidak baik’.

      Sekolah ‘tidak baik’ bukan sahaja melibatkan sekolah non-muslims, malah ada juga melibatkan sekolah yang diuruskan oleh muslims sendiri. Ia bukan sahaja melibatkan makanan, malah kadang-kadang melibatkan nyawa murid (seperti yang banyak kita baca di akhbar).

      Walau apa pun undang-undang yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dan sebagainya, sekolah-sekolah yang ‘tidak baik’ ini tidak peduli. Mungkin di hadapan baik, tetapi di belakang sebaliknya. Untuk itu, memang wujud sekolah-sekolah non-muslims yang membiarkan anak-anak membawa bekal ke sekolah.

      Alhamdulillah, Puan beruntung kerana Puan berjaya menemui & memasukkan anak Puan ke sekolah non-Muslim yang baik. Tetapi realitinya, ramai ibu bapa lain yang tidak bernasib baik. Dan lebih malang lagi, mereka tidak menyedarinya.

      Mungkin cara terbaik ialah dengan mengunjungi tadika secara mengejut sekali sekala. Atau menghantar anak ke sekolah cina yang majoritinya guru-guru beragama Islam. Atau bertawakal sahaja… :)

      Terima kasih sekali lagi Puan ;)

    • hafizan says:

      boleh saya tau dimana tadika yg cik sebut ini

      • syalinamd says:

        Maksud tuan/pua Hafizan? Jika yang dimaksudkan ialah ‘sekolah tidak baik’, saya merujuk kepada kisah-kisah yang didedahkan oleh media selama ini. Pun begitu melalui pengalaman peribadi, saya pernah melihat guru tadika menarik rambut dan menghentak kepala murid ke dinding (perlahan). Tetapi tidak adil jika saya mendedahkan nama tadikanya kerana masalah tersebut sudah lama selesai dan saya tidak pasti sama ada guru berkenaan masih berkhidmat di sana atau tidak….

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s