RESEPI : Cheesecake

Posted: December 28, 2011 in RECIPES

Berikut dua resepi Cheesecake (kek keju) yang berlainan. Satu diambil dari buku ‘mat salleh’, satu lagi dari buku chef Melayu. Kedua-duanya saya dah cuba buat dan kedua-duanya sedap. Tetapi saya lebih sukakan versi ‘mat salleh’ sebab rasanya lebih pure, dan cara membuatnya lebih mudah. Tapi lain orang, lainlah citarasanya. Ya tak? Apa kata cuba buat kedua-keduanya dulu, kemudian baru decide. Yok cuba!

P/S : Ada juga cheesecake yang tak perlu membakar langsung. Insya-Allah nanti saya masukkan ke blog.

RESEPI 1 : BAKED CHEESECAKE

* Dari buku ‘Step-by-Step Comfort Food’, Bay Books, 2003, Australia. Terima kasih ibu mertuaku yang menghadiahkan buku ni.

Untuk lapisan bawah (base) :

375 g biskut manis (biskut Merrie sesuai dan murah)

180 g mentega (cairkan)

* Hancurkan biskut sama ada guna food processor atau lesung (saya guna yang ini ja. Nak selitkan sikit jiwa melayu). Gaulkan dengan mentega cair. Tempek-tempekkan di dalam acuan supaya menjadi ‘lantai’ kepada Cheesecake nanti. Biskut ni banyak, jadi bolehlah kalau nak tempek di sekelilingnya juga supaya menjadi ‘dinding’. Masukkan acuan yang sudah ber-base ni ke dalam peti sejuk okay… *Contoh gambar base ada di bawah.

Baik. Ini untuk filling :

500 g cream cheese (saya guna Philadelphia cream cheese. Harganya mahal sikit tapi sedap dan yang penting – HALAL)

200 g gula halus (caster sugar)

4 biji telur

300 ml cream (bukan topping cream untuk ais krim. Ni cream yang di dalam kotak tu)

2 sudu besar tepung gandum

1 sudu kecil serbuk kulit kayu manis (ground cinnamon)

1/4 sudu kecil serbuk buah pala (ground nutmeg)

1 sudu besar jus lemon (dari buah lemon, bukan kordial)

2 sudu kecil esen vanilla

* Pukul cream cheese bersama gula halus sehingga lembut dan creamy. Campurkan telur dan cream kemudian pukul selama lebih kurang 4 minit. Masukkan tepung, serbuk kayu manis, serbuk buah pala, jus lemon dan esen vanilla. Gaulkan. Kemudian, tuangkan ke dalam acuan yang sudah ditempekkan base tadi. Kalau mengikut buku, bakar menggunakan suhu 180c selama satu jam (lihat tip membakar di bawah). Selepas dibakar dan sejuk, masukkan ke dalam peti sejuk dan sejukkan semalaman (lagi lama lagi sedap).

Tip membakar : Tempoh dan hasilnya bergantung kepada oven masing-masing. Saya suka ambil jalan selamat. Saya selalunya bakar kek guna suhu 170c – 175c. Cuba 45 minit dulu. Selepas 45 minit, jika perlu tambah masa, baru saya tambah.

Kalau guna suhu tinggi & tak kena gaya, boleh mencacatkan rupa dan kesedapan kek. Sebagai contoh, mungkin oven kita tu dah panas sangat-sangat sebab baru selesai membakar dua biji kek lain. Jadi eloklah tinjau-tinjau selalu semasa membakar okay. Saya dah beberapa kali tersilap sebelum ni.

Oh dan seperkara lagi, bagi kek-kek yang lembut macam cheesecake ni, eloklah guna springform pan. Contoh gambarnya saya letakkan di bawah. Boleh cari di hypermarket. Di kedai bahan kek yang besar pun mungkin ada kot. Kalau tak jumpa juga, beli online kay ;)  Walaupun mahal sikit tapi berbaloilah, sebab bukan nak pakai-buang kan…

RESEPI 2 : KEK KEJU

* Dari buku ‘Mahir Memasak Langkah Demi Langkah’, Karangkraf. Saya salin bulat-bulat dari buku.

Bahan :

500 g krim keju (cream cheese)

6 biji kuning telur

6 biji putih telur

250 ml susu segar

150 g gula kastor

125 g mentega

70 g tepung gandum

35 g tepung jagung

1 sudu makan serbuk koko

1/2 sudu teh garam

1) Satukan krim keju, susu dan mentega dalam mangkuk tahan panas. Letas atas air mendidih perlahan dan kacau rata hingga adunan menjadi halus & licin. Ketepikan mangkuk dan biar adunan sejuk.

2) Putar putih telur dan sedikit garam hingga kental dan masukkan gula sedikit demi sedikit dan putar lagi hingga kental. Ketepikan.

3) Masukkan tepung gandum, tepung jagung dan kuning telur ke dalam krim keju. Pukul rata.

4) Masukkan putih telur tadi bersama. Gaul sebati.

5) Ambil dua sudu makan adunan tadi, campurkan dengan serbuk koko dan kacau rata. Ketepikan. (Nota : Ini untuk hiasan di atas kek saja).

6) Tuang semua adunan dalam bekas acuan berukuran 20cm dengan kertas kalis minyak.

7) Titis adunan koko tadi ke atas kek bentuk memanjang. Kemudian lorekkan dengan hujung pisau. (Nota : Ini untuk hiasan di atas kek saja).

8) Letak dalam bekas berisi air panas dan bakar dengan suhu 165c selama sejam atau sehingga masak.

Selamat mencuba!

P/S : Gambar-gambar ni semua ambil di Internet saja sebagai memberi gambaran sebenar cara nak membuatnya. Kredit gambar :

http://www.askchefdennis.com
http://www.kitchenwaresuperstore.com.au/
http://www.college-cram.com

Di bawah ialah satu respons menarik yang diterima melalui emel berkaitan posting saya yang terdahulu – ‘ Daripada Novel ke Layar Perak.’

********************

Salam,

Saya setuju alim-ulama beri panduan tentang filem yang Syariah Compliant. Dalam filem Sang Pencerah kisah perjuangan Kiyai Ahmad Dahlan ditunjukkan sebuah keluarga datang meminta nasihat daripada Kiyai tentang perkahwinan anaknya. Dalam babak tersebut ayah tidak memakai baju hanya memakai seluar, ibu dan akan perempuan berkemban.

Selepas Kiyai beri jawapan pada persoalan mereka, Kiyai menasihati mereka supaya berpakaian dengan sempurna.

Bila tengok babak berkenaan saya berpandangan ulama perlu beri garis panduan.

Sama juga dengan sebuah Sinetron sempena Ramadhan apabila hero dan heroin yang belum berkahwin sama-sama berjalan ke masjid untuk solat tarawikh kemudian apabila pulang daripada solat tarawikh singgah di kedai makan dan makan bersama. Hukumnya haram, tetapi bagi orang yang tidak mantap kefahaman agamanya dan mahu berjinak-jinak dengan Islam mungkin berasa keliru.

Saya lihat orang seperti Dr. Maszlee Malik UIA dan ilmuan-ilmuan muda perlu teliti perkara ini dan beri garis panduan. Penonton dan pembuat filem juga harus faham apabila cerita dalam novel di visualkan pasti ada perubahan yang Syariah Compliant.

Pembuat filem orang yang kreatif mereka tentu ada jalannya. Mungkin pelakon suami isteri di luar filem lebih banyak mendapat tawaran berlakon sebagai suami isteri di dalam filem selepas ini mana tahu?

Satu lagi komen saya, adakah novel Islami hanya berkisar tentang kisah rumah tangga dan kanak-kanak sama seperti cerita dalam filem-filem Iran ?

Bagi saya menjemukan. Kita perlu ada kisah thriller, pengembaraan, peperangan dan aksi. Saya berpandangan orang lelaki suka cerita-cerita seperti itu.

Menjadi satu plot kisah yang menarik apabila dikisahkan  tentang seorang lelaki dijumpai terdampar di pantai dan hilang ingatan. Lelaki tersebut diselamatkan oleh seorang nelayan tua di pedalaman. Lelaki tersebut hairan mengapa dia sentiasa diburu. Walaupun beliau hilang ingatan  tetapi mahir bermain senjata, menguasai pelbagai bahasa, tangkas dalam seni mempertahankan diri.

Beliau berusaha menyiasat mencari indentiti dirinya yang sebenar. Di sini penonton akan menunggu sehingga habis cerita untuk tahu kesudahannya. Dalam cerita tersebut masukkanlah unsur dakwah.

Berbeza dengan cerita kita bila watak utama sudah bertaubat, di hujung cerita kita boleh agak kemungkinan besar dia akan mati. Sudahlah tu, mati dilanggar kereta yang dipandu oleh anak sendiri. Penulis skrip tu tak tahukah orang boleh trauma kalau melanggar orang sampai mati, terutama melanggar ayah sendiri?

Selalunya begitulah, hari raya pun kita buat kisah sedih. Watak utama mati di hari raya selepas insaf dan bertaubat.

Rizal
rizal@cs.usm.my

 

 

APABILA IKLAN TERLEBIH ‘KREATIF’

Posted: December 16, 2011 in GENERAL

Gambar ni diambil di atas jambatan Pulau Pinang. Ini baru iklan kenderaan bergerak, belum lagi iklan di TV. Nak guna slogan ‘Malaysia Boleh’ atau ‘Malaysiaku gagah berani’?

 

 

 

 

 

 

APABILA HAL RUMAHTANGGA KE RADIO…

Posted: December 14, 2011 in GENERAL

Kalau ada kesempatan, saya akan mendengar SinarFM. Sesuai dengan jiwa yang adakalanya rumaja, adakalanya tidak. SinarFM mainkan semua genre lagu tak kira zaman.

Slot Sinar Pagi dikendalikan oleh Krill (Khairil Rashid), K.E. (Kak Engku/Raja Azura) dan SY (Salih Yaakob). Selalunya di Sinar Pagi ini ada ‘Lagu Mat Salleh’ yang mana lagu Melayu telah di ‘matsalleh’ kan oleh SY. Memang lawak bila setiap baris ayat diterjemah seketul-seketul.

Antara lain dalam slot ini ialah pendengar boleh menelefon konti Sinar dan berkongsi cerita. Tak kisahlah cerita apa pun.

Kebetulan pagi tadi saya mendengar Sinar Pagi. Salah seorang pemanggil bercerita masalah. Katanya, dia menghadapi masalah dengan suami. Nak dijadikan cerita, pada masa yang sama, bekas kekasihnya juga menghadapi masalah dengan bekas isteri.

Sebenarnya kisah rumahtangga kerap juga dicerita di SinarFM. Kadang-kadang terfikir juga, mereka yang menghubungi konti Sinar ni tak kisahkah suara dan kisah mereka didengar oleh orang-orang yang mengenali mereka? Maksudnya, mustahil suami, isteri, mak, ayah, mak mertua, pak mertua, pak teh, pak su, mak lang, tok ndak dan kawan-kawan tak mengenali suara si pemanggil tersebut.

Secara tidak langsung, masalah rumahtangga pun tersebar ke telinga orang lain yang mengenali si pemanggil walaupun sepatutnya di dalam Islam, ia tidak boleh dihebahkan secara terbuka begitu.

Berbalik kepada masalah salah seorang pemanggil pagi tadi, mujur juga K.E. dan SY berpesan supaya si pemanggil tidak menceritakan masalahnya itu kepada bekas kekasih. Kalau nak bercerita atau meluah perasaan, sepatutnya kepada ibu atau sesiapa sahaja yang terdekat.

Bahayakan…? Kalau di Barat, trend talk show berkongsi masalah begini memang sudah lama berlaku. Di Malaysia pun semakin bercambah-cambah nampaknya. Salah satu contoh lain ialah Dilly’s Daily Dilemma di MixFM. Tetapi bagi masyarakat Islam nampaknya tidak sesuai. Banyak masalah sepatutnya dikendalikan secara tertutup.

Kalau nak buat secara terbuka begitu pun, ada cabang lain yang boleh digunakan iaitu melalui media cetak (majalah, suratkhabar dll). Di sini, pencerita masalah boleh menggunakan nama samaran atau ‘anonymous’!

 

KISAH LELAKI & SOLAT JUMAAT

Posted: December 10, 2011 in GENERAL

Lelaki dan solat Jumaat ibarat isi dengan kuku, bagai aur dengan tebing….

Dah lama saya tak ke medan selera Setiawangsa. Kebetulan saya masih di KL, saya pun singgah untuk membeli lauk (Jumaat 9/12). Saya tahu dan saya pernah melihat ramai lelaki yang tidak bersolat Jumaat. Jadi senario yang saya lihat semalam bukanlah perkara baru untuk di ‘terperanjatkan’.

Tetapi saya tetap mahu bersangka baik. Mereka ini jika bukan sebab bermusafir, mesti sedang uzur. Kan?

DARIPADA NOVEL KE LAYAR PERAK

Posted: December 9, 2011 in GENERAL

Membawa novel ke layar perak semakin menjadi trend. Jika daripada novel ke drama televisyen sudah banyak sejak dari dahulu lagi. Contoh novel lama yang telah dijadikan drama ialah ‘Seorang Tua Di Kaki Gunung’ karya Allahyarham Azizi Abdullah.

Menerbitkan karya ke layar perak memang berisiko. Jika bernasib baik, jadilah seperti ‘Ombak Rindu’ yang berjaya mengutip lebih RM5 juta belum pun sampai seminggu tayangan. Jika tidak bernasib baik, menjadi seperti ‘Karipap Karipap Cinta’.

Sememangnya berisiko layar perak ini. Bukan filem-filem adaptasi sahaja, malah apa jenis filem pun. Jika untuk tayangan televisyen, bayarannya sudah terjamin. Orang tonton atau tidak, RTM, TV3, TV9, 8TV, NTV7 dan Astro akan tetap bayar. Walaupun untung tak besar, tetapi dijamin tak rugi.

Filem yang nak ditayangkan di pawagam pula berbeza. Fifty-fifty. Boleh jadi untung sedikit atau untung besar, atau boleh juga dinobat status bankruptcy. Bergantung. Maksudnya, kalau nak terbitkan filem ini, memang perlu tawakkal banyak-banyak.

Berbalik kepada novel yang diangkat ke layar perak. Ia boleh menguntungkan penulis novel berkenaan atau sebaliknya. Antara situasinya :

(a) Jika novel itu bukan best-seller pada awalnya, tetapi filemnya box office, ada kemungkinan besar novel tersebut akan bertukar menjadi novel best-seller kemudiannya kerana orang mula mencari. 

(b) Jika novel best-seller tetapi filemnya ‘hancur’, maka silap haribulan memberi impak negatif kepada novel itu. Bermaksud, apabila filemnya tidak berkualiti, penonton yang telah menonton atau pembaca yang belum pernah membeli/membaca novel asal akan beranggapan bahawa novel itu juga tidak bagus.

(c) Jika novel itu best-seller kemudian ditambah pula dengan filemnya yang box office, maka lebih banyak lagilah novelnya terjual, insya-Allah.

Banyak juga novel Indonesia yang telah difilemkan dan banyak yang berjaya menguntungkan ketiga-tiga pihak iaitu penerbit filem, penerbit buku dan penulis buku. Tetapi itulah, yang mengkagumkan saya, filem-filem Indonesia ini berjaya bukan kerana tempelan pelakon-pelakonnya, tetapi kerana filemnya benar-benar berkualiti.

Seperkara lagi mengenai novel Islami yang dibawa ke layar perak mahu pun televisyen. Sememangnya perlu dirujuk kepada alim ulama dahulu. Pada saya sebagai pembaca dan penonton, saya rasa amat tidak kena apabila watak-watak mula ‘dihidupkan’ di dalam filem/drama.

Cuba bayangkan begini. Di dalam novel yang baik, watak perempuan seksi tidak akan digambarkan cara perlakuan atau pakaiannya. Tetapi pembaca dapat mengetahui bahawa dia sedang membaca tentang perempuan seksi. Pun begitu apabila ia difilemkan, watak itu terpaksa dihidupkan secara visual. Maka pakaiannya perlu seksi, percakapan dan perlakuannya juga perlu begitu. Jika tidak, wataknya di dalam filem tidak akan ‘hidup’.

Sama jugalah dengan watak suami isteri yang mana di dalam novel ia boleh digambarkan dengan mudah. Watak suami isteri bertepuk bertampar, isteri mengucup dahi atau tangan suami. Tetapi apabila di bawa ke layar perak atau televisyen? Untuk merealisasikan apa yang ada di dalam novel, maka tertulislah di dalam skrip babak ’suami isteri’ baring sekatil, ‘ayah’ mengucup dahi ‘anak’, ‘suami’ memeluk ‘isteri’ dan sebagainya. Ahh! Ini yang menyebabkan karya Islami tidak lagi Islami sebaik difilemkan.

Inilah realiti kehidupan. Another fact of life.

Hmmm bilalah agaknya filem ala ala Bukit Kepong atau Sarjan Hassan nak mendapat kutipan berjuta-juta? Dan oh, boleh tak jika saya nak minta film censorship board yang baru? *Wink*

TENTANG HIBURAN TANPA TAJUK KHUSUS

Posted: December 7, 2011 in GENERAL

Masih dalam mood ‘hiburan’.

Wahh bukan main lagi stesen radio sekarang ya? Lagu-lagu berlirik tak bermoral berdesup-desup masuk. Memanglah orang selalu kata, “Hiburan semata-mata”, tapi dulu tak perlu lagu-lagu sebegini pun kami terhibur juga.

Teringat semasa kecil dulu saya suka sangat sertai pertandingan berkaitan seni terutama nyanyian. Terasa seperti darah seni mengalir di dalam darah. Kononlah.

Ada juga saya sertai pidato/perbahasan ketika dalam tingkatan 1 atau 2 (maaf tak ingat). Saya mendapat tempat kedua. Hadiahnya ialah sebatang pen. Bukan pen Kilometrico 0.40 sen tetapi pen berjenama lain. Harganya mahal sedikitlah agaknya.

Secara umumnya, saya ini pencinta seni walaupun tidak pernah terlibat secara langsung dalam bidang seni. Genre muzik yang saya dengar merangkumi semua, daripada classical, rap, hip hop, pop, raggae, country & western, R&B, jazz sehinggalah ke rock. Filem dan drama juga begitu. Yang mana bagus untuk ditonton, saya akan tonton terutamanya yang bergenre komedi.

Apabila meminati sesebuah lagu, di manakah limit-nya? Sebagai contoh, apabila meminati lagu rock, adakah perlu mengkagumi penyanyinya yang berambut panjang? Atau mungkin seorang penyanyi lagu bergenre pop yang penuh dengan kontroversi? Atau mungkin lagunya begitu berkualiti tetapi penyanyinya pula, alahai, tidak berkualiti dari segi akhlak?

Adakalanya melodi lagu sedap didengar tetapi mesej liriknya tidak baik. Seperti apa yang kerap kita dengar di radio sekarang. Apa yang disiarkan di radio di zaman ini seperti tiada lagi limit-nya. Klip video di TV juga begitu. Pasanglah channel Hitz di Astro, pasti ternganga. Bagi yang sedikit ‘mentally out’ tu, dijamin drool.

Untuk itu, saya sokong sepenuhnya lagu-lagu dakwah diberi sentuhan pelbagai genre muzik!